Showing posts with label bola. Show all posts
Showing posts with label bola. Show all posts

Saturday, October 30, 2010

Proud of My Kelantan! GKG!




KUALA LUMPUR – Sejarah tercipta dan dendam terbalas, malah temasya besar berhak dirayakan oleh Kelantan apabila menjulang anugerah berprestij bola sepak negara, Piala Malaysia buat kali pertama setelah menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan akhir edisi ke-44, semalam.


Malah Wira Merah mengakhiri penantian yang sekian lama selepas dihampakan dalam perlawanan akhir 1955, 1970 dan tahun lalu sekali gus mengekori Perak, Selangor, Pulau Pinang, Pahang, Johor, Kuala Lumpur, Kedah, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan sebagai 11 negeri pemilik Piala Malaysia sejak 1967.


Gegak gempita sorakan serta dentuman mercun melanda Stadium Nasional, Bukit Jalil yang menyambut kejayaan skuad bimbingan B. Sathianathan menebus kehampaan 3-1 kepada lawan dan di gelanggang sama tahun lalu, hasil jaringan Hairuddin Omar dan Badri Radzi.
Sebaliknya Negeri Sembilan terlepas peluang untuk merangkul gelaran berganda musim ini selepas Piala FA, April lalu biarpun mengejutkan lawan dengan sepakan penalti penyerang bidan terjun, Shahurain Abu Samah pada babak pertama.


Malah mereka mampu mendahului lebih awal andainya penyerangnya, Idris Karim lebih kuat menyepak umpanan lambung S. Kunanlan dari sebelah kanan, ketika cuma berdepan Khairul Fahmi Che Mat, yang sempat menyambut tolakannya pada minit keenam.


Dalam satu serangan balas pantas yang dilancarkan Kunanlan minit ke-12, Kelantan tergamam sehingga penjaga golnya, Khairul Fahmi terpaksa membentes sayap kanan Negeri Sembilan dan menghadiahkan sepakan penalti buat juara bertahan.


Biarpun diarahkan pengadil Subkhiddin Salleh supaya mengambil semula sepakan penalti yang berjaya disudahi, Shahurain Abu Samah tetap tenang menolak ke kiri gawang Kelantan untuk mencipta gol pembukaan Si Rusa, seminit kemudian.


Namun, Si Kijang masih tidak mahu mengalah, setelah rembatan jauh Zairul Fitree Ishak tersasar tinggi pada minit ke-11, Badri Radzi pula terlepas menyamakan kedudukan apabila rembatannya sempat disekat bek tengah lawan, Shukor Adan pada minit ke-35.


Enam minit kemudian menyaksikan kehampaan berterusan Idris gara-gara dipersalahkan pengadil ketika cuba menyambut umpanan lambung Ching Hong Aik dengan tandukan walaupun, hanya perlu mengatasi Khairul Fahmi yang sempat mendakap bola.


Tiga minit masa kecederaan turut merakamkan kegagalan percubaan sayap kanan Wira Merah, Nor Farhan Muhammad dalam kotak penalti sementara rembatan jauh ketua pasukan Indra Putra Mahayuddin pula berjaya ditepis penjaga gol Si Rusa, Sani Anuar Kamsani.


Dalam dua minit babak kedua bersambung, Kelantan kian garang memburu gol penyamaan, namun kedua-dua percubaan Badri dan Hairuddin Omar sekadar mencemaskan Sani Anuar tetapi belum dapat menembusi kubu terakhir pasukan bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu.


Gol penyamaan idaman Wira Merah tiba juga pada minit ke-57 hasil umpanan lambung Norshahrul Idlan Talaha dari sebelah kanan yang cukup tepat disudahi dengan tandukan kencang Hairuddin tanpa mampu digapai Sani Anuar lagi.


Bersemangat tinggi dengan gol itu, Kelantan mengasak lagi, lalu Badri menggembirakan dan menghadiahkan majoriti hadirin Stadium Nasional yang membentuk Lautan Merah dengan jaringan kedua minit ke-64 setelah mendapat lorongan Nor Farhan dari belakangnya.


Wira Merah beroleh satu lagi peluang keemasan setelah penyerang gantian, Akmal Rizal Rakhli dikasari Alif Shamsuddin tetapi sepakan bebas Indra Putra menghampakan pasukan dan peminat mereka kerana melewati palang gol pada minit ke-83.


KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Daudsu Jamaludin (Akmal Rizal Rakhli), Farisham Ismail, Rizal Fahmi Rosid, Zairul Fitree Ishak, Nor Farhan Muhammad, Badri Radzi, Shakir Shaari (Khairan Eroza Razali), Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha (S. Chanturu), Hairuddin Omar.


NEGERI SEMBILAN: Sani Anuar Kamsani, Tengku Qayyum Ubaidillah Tengku Ahmad, Shukor Adan, Aidil Zafuan Radzak (Firdaus Azizul), Ching Hong Aik (Asyraf Al Japri), Alif Shamsuddin, Idris Karim, Halim Zainal, S. Kunanlan, Shahurain Abu Samah, Qhairul Anwar Roslaini (Shaffik Rahman).

sumber: UTUSAN ONLINE

Wednesday, October 27, 2010

Sejarah Baru Akan Tercipta- Kelate.Net


Di setiap pelusuk tempat di negeri Kelantan khasnya dan di Malaysia amnya, setiap orang yang berasal dari Kelantan sekarang ini sibuk berbicara mengenai perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan pada 30hb nanti. Popularnya perlawanan tersebut sehinggakan rakyat Kelantan sekarang sudah lupa bahawa ada satu lagi perkara yang penting akan berlaku pada 4hb Nov nanti iaitu Pilihanraya kecil Dun Galas.
Begitulah hebatnya penangan sukan bolasepak ini kepada rakyat Kelantan. Boleh dikatakan di mana saja di Kelantan, daripada budak kecil sehinggakan dewasa memakai baju The Red Warrior tidak kira yang original atau pun ‘Siam’. Trend sebegini kita tidak akan dapat lihat pada negeri lain walaupun ketika pasukannya berada di puncak. Seolah-olah mereka tidak segan silu untuk memakainya untuk pergi ke mana-mana saja. Itu menunjukkan bahawasanya rakyat Kelantan amat bangga dengan pencapaian pasukan The Red Warrior setakat ini.
Tetapi, langkah untuk menuju ke perlawanan akhir ini sebenarnya penuh berliku dan ranjau. Perlawanan peringkat kumpulan A Piala Malaysia yang menampakkan kepincangan pasukan kita pada awalnya. Ramai pihak yang tidak dapat sabar terus menyuarakan pendapat agar B Sathianathan meletakkan jawatan serta merta. Tetapi B Sathianatahan bukanlah orang yang cepat melatah dan berputus asa walaupun pada awalnya beliau cukup terkesan dengan telatah segelintir peminat yang inginkan kemenangan berterusan. Mujurlah keputusan di Paroi berkesudahan dengan seri 2-2. Jika tidak, B Sathianathan akan mengotakan janjinya untuk meninggalkan pasukan Kelantan. Tapi saya percaya beliau tidak akan melakukannya. Dan seterusnya kita dapat menumbangkan Selangor dengan penuh bergaya di Suku Akhir.
Pada masa itulah,The Red Warrior betul-betul menunjukkan mutu permainan pada tahap maksimum yang tidak akan dapat disaksikan dalam perlawanan lain sehinggakan penyokong Selangor sendiri tidak percaya dan terkesima dengan aksi longlai pemain mereka seolah-olah dirantai sepenuhnya oleh pemain Kelantan. Bermula dengan aksi meyakinkan di Shah Alam, kita teruskan pula di Kota Bharu dengan menenggelamkan Gergasi Merah Kuning dengan egonya sendiri.
Pada saat itu, saya sudah berkeyakinan yang pemain Kelantan sudah bertemu rentak dan amat bersemangat untuk melakar kemenangan demi kemenangan. Sehinggalah sekarang kita sudah berada di pentas ‘FINAL’ untuk kali kedua dalam masa dua tahun berturut-turut. Satu pencapaian yang amat membanggakan bagi sebuah pasukan yang diangkat secara kebetulan daripada Liga Perdana ke Liga Super pada tahun 2009 ini nampaknya merupakan pasukan yang boleh dikatakan terbaik antara yang terbaik. Diterajui oleh Presiden yang amat komited, barisan kepimpinan yang lain dan Ketua Jurulatih yang tidak kenal putus asa dan bersemangat waja, maka pada hari ini kita sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kepada KAFA yang sudah mencipta dan terus akan mencipta sejarah baru di bumi Kelantan yang tercinta.
Pada 30hb ini, kita semua rakyat Kelantan akan berkumpul sekali lagi di Bukit Jalil dan akan menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia yang amat berprestij di Malaysia. Saya berdoa agar kita dapat mencipta sejarah baru untuk negeri kita. Kita sudah lama memerhati daripada jauh. Sekarang sudah tiba masanya untuk kita menggenggam erat Piala Malaysia yang menjadi idaman kita sejak daripada dahulu lagi. Ayuh Pahlawan The Red Warrior. Tunjukkan aksi hebat mu itu. Berkat doa dan tawakal seluruh rakyat Kelantan, saya amat yakin kita akan dapat menumbangkan Negeri Sembilan pada hari sabtu nanti. InsyaAllah..GOMO KELATE GOMO..!!
Nama: Nik Najmuddin
Umur: 30 tahun
Lokasi: Kg Baru, KL
Asal: Kubang Kerian, Kelantan

Diambil daripada kelate.net

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...