Wednesday, October 27, 2010

Sejarah Baru Akan Tercipta- Kelate.Net


Di setiap pelusuk tempat di negeri Kelantan khasnya dan di Malaysia amnya, setiap orang yang berasal dari Kelantan sekarang ini sibuk berbicara mengenai perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan pada 30hb nanti. Popularnya perlawanan tersebut sehinggakan rakyat Kelantan sekarang sudah lupa bahawa ada satu lagi perkara yang penting akan berlaku pada 4hb Nov nanti iaitu Pilihanraya kecil Dun Galas.
Begitulah hebatnya penangan sukan bolasepak ini kepada rakyat Kelantan. Boleh dikatakan di mana saja di Kelantan, daripada budak kecil sehinggakan dewasa memakai baju The Red Warrior tidak kira yang original atau pun ‘Siam’. Trend sebegini kita tidak akan dapat lihat pada negeri lain walaupun ketika pasukannya berada di puncak. Seolah-olah mereka tidak segan silu untuk memakainya untuk pergi ke mana-mana saja. Itu menunjukkan bahawasanya rakyat Kelantan amat bangga dengan pencapaian pasukan The Red Warrior setakat ini.
Tetapi, langkah untuk menuju ke perlawanan akhir ini sebenarnya penuh berliku dan ranjau. Perlawanan peringkat kumpulan A Piala Malaysia yang menampakkan kepincangan pasukan kita pada awalnya. Ramai pihak yang tidak dapat sabar terus menyuarakan pendapat agar B Sathianathan meletakkan jawatan serta merta. Tetapi B Sathianatahan bukanlah orang yang cepat melatah dan berputus asa walaupun pada awalnya beliau cukup terkesan dengan telatah segelintir peminat yang inginkan kemenangan berterusan. Mujurlah keputusan di Paroi berkesudahan dengan seri 2-2. Jika tidak, B Sathianathan akan mengotakan janjinya untuk meninggalkan pasukan Kelantan. Tapi saya percaya beliau tidak akan melakukannya. Dan seterusnya kita dapat menumbangkan Selangor dengan penuh bergaya di Suku Akhir.
Pada masa itulah,The Red Warrior betul-betul menunjukkan mutu permainan pada tahap maksimum yang tidak akan dapat disaksikan dalam perlawanan lain sehinggakan penyokong Selangor sendiri tidak percaya dan terkesima dengan aksi longlai pemain mereka seolah-olah dirantai sepenuhnya oleh pemain Kelantan. Bermula dengan aksi meyakinkan di Shah Alam, kita teruskan pula di Kota Bharu dengan menenggelamkan Gergasi Merah Kuning dengan egonya sendiri.
Pada saat itu, saya sudah berkeyakinan yang pemain Kelantan sudah bertemu rentak dan amat bersemangat untuk melakar kemenangan demi kemenangan. Sehinggalah sekarang kita sudah berada di pentas ‘FINAL’ untuk kali kedua dalam masa dua tahun berturut-turut. Satu pencapaian yang amat membanggakan bagi sebuah pasukan yang diangkat secara kebetulan daripada Liga Perdana ke Liga Super pada tahun 2009 ini nampaknya merupakan pasukan yang boleh dikatakan terbaik antara yang terbaik. Diterajui oleh Presiden yang amat komited, barisan kepimpinan yang lain dan Ketua Jurulatih yang tidak kenal putus asa dan bersemangat waja, maka pada hari ini kita sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kepada KAFA yang sudah mencipta dan terus akan mencipta sejarah baru di bumi Kelantan yang tercinta.
Pada 30hb ini, kita semua rakyat Kelantan akan berkumpul sekali lagi di Bukit Jalil dan akan menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia yang amat berprestij di Malaysia. Saya berdoa agar kita dapat mencipta sejarah baru untuk negeri kita. Kita sudah lama memerhati daripada jauh. Sekarang sudah tiba masanya untuk kita menggenggam erat Piala Malaysia yang menjadi idaman kita sejak daripada dahulu lagi. Ayuh Pahlawan The Red Warrior. Tunjukkan aksi hebat mu itu. Berkat doa dan tawakal seluruh rakyat Kelantan, saya amat yakin kita akan dapat menumbangkan Negeri Sembilan pada hari sabtu nanti. InsyaAllah..GOMO KELATE GOMO..!!
Nama: Nik Najmuddin
Umur: 30 tahun
Lokasi: Kg Baru, KL
Asal: Kubang Kerian, Kelantan

Diambil daripada kelate.net

1 comment:

  1. Semoga Kelate akan dapat julang piala Malaysia musim nih. Amin~~

    ReplyDelete

Borak-borak Cafe...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...